Khamis, 28 Mei 2015
Kisah Asal Usul Hajar Aswad
Ketika Nabi Ibrahim a.s. bersama anaknya membina Kaabah banyak kekurangan yang dialaminya. Pada mulanya Kaabah itu tidak ada bumbung dan pintu masuk. Nabi Ibrahim a.s. bersama Nabi Ismail a.s. bertungkus-lumus untuk menjayakan pembinaannya dengan mengangkut batu dari pelbagai gunung.
Dalam sebuah kisah disebutkan apabila pembinaan Kaabah itu selesai, ternyata Nabi Ibrahim masih merasakan kekurangan sebuah batu lagi untuk diletakkan di Kaabah. Nabi Ibrahim berkata kepada Nabi Ismail, "Pergilah engkau mencari sebuah batu yang akan aku letakkan sebagai penanda bagi manusia."
Kemudian Nabi Ismail a.s. pun pergi dari sebuah bukit ke sebuah bukit untuk mencari batu yang baik dan sesuai. Ketika Nabi Ismail a.s. sedang mencari batu di sebuah bukit, tiba-tiba datang malaikat Jibril a.s.memberikan sebuah batu yang cantik. Nabi Ismail dengan segera membawa batu itu kepada Nabi Ibrahim a.s. Nabi Ibrahim a.s. merasa sungguh gembira melihat batu yang sungguh cantik itu, beliau menciumnya beberapa kali. Kemudian Nabi Ibrahim a.s. bertanya, "Daripada mana kamu dapat batu ini?"
Nabi Ismail berkata,"Batu ini ku terima daripada yang tidak memberatkan cucuku dan cucumu (Jibril)."
Nabi Ibrahim a.s. mencium lagi batu itu dan diikuti oleh Nabi Ismail a.s. Sehingga sekarang Hajar Aswad itu dicium oleh orang-orang yang pergi ke Baitullah. Siapa sahaja yang bertawaf di Kaabah disunnahkan mencium Hajar Aswad. Beratus ribu kaum muslimin berebut ingin mencium Hajar Aswad itu, yang tidak mencium cukuplah dengan memberi isyarat lambaian tangan sahaja.
Ada riwayat menyatakan bahawa dulunya batu Hajar Aswad itu putih bersih tetapi akibat dicium oleh setiap orang yang datang menziarahi Kaabah, ia menjadi hitam seperti terdapat sekarang. Wallahu a'alam.
Apabila manusia mencium batu itu maka timbullah perasaan seolah-olah mencium ciuman Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Ingatlah wahai saudara-saudaraku, Hajar Aswad itu merupakan tempat diperkanan doa. Bagi yang ada kelapangan, berdoalah disana, Insya Allah doanya akan dikabulkan oleh Allah. Jagalah hati kita sewaktu mencium Hajar Aswad supaya tidak menyekutukan Allah, sebab tipu daya syaitan kuat di Tanah Suci Mekah. Ingatlah kata-kata Khalifah Umar Al-Khattab apabila banginda mencium batu Hajar Aswad, "Aku tahu, sesungguhnya engkau hanyalah batu biasa. Andaikan aku tidak melihat Rasulullah S.A.W. mencium mu, sudah tentu aku tidak akan melakukannya (mencium Hajar Aswad)."
Kisah diatas saya petik dari tazkirah oleh Ustaz Yusof Mohammad.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)

Tiada ulasan:
Catat Ulasan