Rabu, 9 April 2014

Solat Dhuha

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيم

ِ , الْحَمْدُ لِلَّهِ وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَن وَالَاهُ



TAZKIRAH UNTUK RENUNGAN BERSAMA.

Sholat Dhuha. Amalan Yang Diambil Berat Oleh Rasulullah. 
Diriwayatkan Daripada Abu Dzarr radhiallahu’ anh, daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, baginda bersabda:
يُصْبِحُ عَلَى كُلِّ سُلاَمَى مِنْ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ فَكُلُّ تَسْبِيحَةٍ صَدَقَةٌ وَكُلُّ تَحْمِيدَةٍ صَدَقَةٌ وَكُلُّ تَهْلِيلَةٍ
 صَدَقَةٌ وَكُلُّ تَكْبِيرَةٍ صَدَقَةٌ وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ صَدَقَةٌ وَنَهْيٌ عَنْ الْمُنْكَرِ صَدَقَةٌ وَيُجْزِئُ مِنْ ذَلِكَ
 رَكْعَتَانِ يَرْكَعُهُمَا مِنْ الضُّحَى.
“ Bagi tiap-tiap ruas dari anggota tubuh salah seorang di antara kalian harus dikeluarkan sedekahnya setiap pagi hari. Setiap tasbih (Subhaanallah) adalah sedekah, setiap tahmid (Alhamdulillah) adalah sedekah, setiap tahlil (Laa Ilaaha Illallah) adalah sedekah, setiap takbir (Allahu Akbar) adalah sedekah, menyuruh untuk berbuat baik juga sedekah, dan mencegah kemungkaran juga sedekah. Dan semua itu boleh diganti dengan dua rakaat solat Dhuha”. (Hadith Riwayat Imam Muslim: 720)

Penjelasan :
Wahai saudara-saudaraku yang beriman. Marilah kita sama-sama mensyukuri nikmat anugerah Allah kepada kita. Di antara nikmat yang wajib kita syukuri ialah anugerah tubuh badan dan kesihatan kepada kita sehingga kita dituntut untuk melakukan kebaikan dengan setiap anggota dan ruas sendi yang Allah anugerahkan itu. Ia adalah ibadah badaniah tanda mensyukuri nikmat tersebut. Allah anugerahkan kita sebanyak 360 ruas sendi dan setiap sendi serta ruas-ruas tulang perlu mengeluarkan sedekah bagi menunjukkan ketaatan kita kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.jika sedekahnya berbentuk wang ringgit kalau satu sendi RM 1 bermakna setiap orang dari kita perlu menyediakan RM360 sehari sebagai modal sedekah. Tetapi Allah maha pemurah, Allah tahu kemampuan kewangan kita berbeza-beza, maka Allah mudahkan kita dengan hanyamenunaikan solat Dhuha kita telah pun dapat menunaikan tanggung jawab tersebut.

Fadhilat dan kemuliaan solat dhuha :
1) Solat dhuha magnet rezeki sehingga Allah janjikan kecukupan keperluan hidup seharian: Daripada Nu’aim bin Hammar, dia berkata: Saya pernah mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda Allah Azza Wa Jalla berfirman:
يَا ابْنَ آدَمَ لاَ تُعْجِزْنِي مِنْ أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ فِي أَوَّلِ نَهَارِكَ أَكْفِكَ آخِرَهُ.
“Wahai anak Adam, janganlah engkau sampai tertinggal untuk mengerjakan solat empat rakaat pada permulaan siang (waktu Dhuha), nescaya Aku akan memberi kecukupan kepadamu sampai akhir siang. (Riwayat Imam Abu Dawud: 1097)
2) Mendapat Pahala Sebagaimana Mengerjakan Haji Dan Umrah.
Daripada Anas radhiallahu’ anh, dia berkata: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
مَنْ صَلَّى الْغَدَاةَ فِي جَمَاعَةٍ ثُمَّ قَعَدَ يَذْكُرُ اللَّهَ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ  ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ كَانَتْ لَهُ 
كَأَجْرِ حَجَّةٍ وَعُمْرَةٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  تَامَّةٍ تَامَّةٍ تَامَّةٍ.
“ Barangsiapa mengerjakan solat Subuh secara berjemaah lalu sesudah itu dia tetap duduk (di masjid) untuk berzikir kepada Allah sehingga matahari terbit (dan meninggi), kemudian solat (Dhuha) dua rakaat maka dia akan mendapat pahala sebagaimana pahala haji dan umrah. Dia berkata (Anas), Rasulullah bersabda: Yang sempurna, Yang Sempurna, Yang Sempurna.” (Hadith Riwayat Imam al-Tirmidzi: 535)
3) Solat dhuha adalah kelaziman orang-orang yang bertaubat. Sesungguhnya Allah suka hamba-hamba-Nya yang bertaubat :
Daripada Zaid bin Arqam bahawasanya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam keluar menuju tempat Ahli Quba’ yang ketika itu mereka sedang mengerjakan solat Dhuha. Baginda lalu bersabda:
صَلاَةُ الأَوَّابِينَ حِينَ تَرْمَضُ الْفِصَالُ.
“ Solat Awwabin (orang-orang yang taubat) dilakukan pada saat matahari mula menyengat ( panas )”. (Hadith Riwayat Imam Muslim: 748)
Waktu pelaksanaan solat dhuha :
waktu solat Dhuha dimulai setelah keluar dari waktu larangan solat pada awal siang hari ( awal pagi 27 minit selepas syuruk ) sampai adanya larangan saat tengah hari ( saat istiwa’ lebih kurang 10 minit sebelum zohor ). Sepanjang waktu antara larangan awal siang dan larangan saat tengah hari boleh dilakukan solat dhuha. Akan tetapi waktu afdhal adalah ketika kita mula terasa panas kulit dengan pancaran matahari sebagaimana hadis awwabin di atas.
Jumlah Rakaat Solat Dhuha :
Solat dhuha boleh dilaksanakan sama ada 2,4,6,8, atau 12 rakaat. Mengikut kemampuan kita masing-masing.
1) Daripada Anas bin Malik radhiallahu’ anh bahawasanya Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam pernah mengerjakan solat Dhuha sebanyak enam rakaat. (Hadith Riwayat Imam al-Tirmidzi dalam kitab al-Syamaail,: 273)
2) Daripada Ummu Hani’, dia berkata: Pada masa pembebasan kota Makkah, dia bertemu Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ketika baginda berada di atas tempat tertinggi di Makkah. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menuju tempat mandinya lalu Fathimah memasang tabir untuk baginda. Selanjutnya Fathimah mengambilkan kain dan menyelimutkannnya kepada baginda. Setelah itu baginda mengerjakan solat Dhuha sebanyak lapan rakaat. (Hadith Riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya : 1176)
3) Dalam riwayat al-Thabarani daripada hadith Abu Darda’ secara marfu’ disebutkan: Barangsiapa solat Dhuha dua rakaat, maka tidak ditulis sebagai orang-orang lalai, barangsiapa solat Dhuha empat rakaat maka ditulis sebagai orang-orang yang bertaubat, barangsiapa solat Dhuha enam rakaat, maka dicukupkan untuknya pada hari itu, barangsiapa solat Dhuha lapan rakaat, maka ditulis dalam golongan ahli Ibadah, dan barangsiapa solat Dhuha dua belas rakaat maka dibangunkan untuknya rumah di syurga. ( Rujuk Fathul Baari, jilid 6, ms. 349 ketika al-Hafidz mensyarah hadith Shahih al-Bukhari no: 1176.)
Sebahagian ulama pula berpandangan jumlah rakaat solat Dhuha ini tidak ada batasan yang tertentu berdasarkan hadis :
مُعَاذَةُ أَنَّهَا سَأَلَتْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا: كَمْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي 
صَلاَةَ الضُّحَى؟ قَالَتْ: أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ وَيَزِيدُ مَا شَاءَ.
“ Daripada Mu’adzah, dia berkata: Aku bertanya kepada ‘Aisyah: Berapa rakaat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mengerjakan solat Dhuha?, Dia menjawab: Sebanyak empat rakaat lalu baginda menambahnya lagi menurut yang dia kehendaki. (Hadith Riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya: 719)
Kesimpulan :
Kita semua tidak mampu untuk bersedekah dengan wang ringgit dan harta.. tapi Allah tidak abaikan kita. Allah beri peluang sedekah yang terbuka luas.. amat rugilah kita sekiranya kita mengabaikan  bonus pemberian Allah..
Ya Allah kurniakanlah kekuatan dan keluasan masa dan umur untuk kami mengamalkan setiap anugerah-Mu.. Aamiin. doakan istiqamah.
wassalam.
وَصَلَّى اللَّهُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ, 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan